Wednesday, April 28, 2010

Mewakaf Diri Demi Perjuangan Islam

"ISTERI cerdik yang solehah, penyejuk mata, penawar hati, penajam fikiran, di rumah dia isteri, dijalanan kawan, di waktu kita buntu, dia penunjuk jalan," itulah antara bait-bait kata sebuah lagu nasyid yang ternyata menyentuh jiwa sesiapa yang mendengar, apatah lagi kalau yang mendengar itu adalah seorang yg bergelar isteri.

Wanita sebagai isteri berfungsi sebagai penolong kepada suami, dalam erti kata yang lain membantu meringankan beban suami mengatur dan mengurus kehidupan. Bukan itu sahaja, malah isteri turut berperanan sebagai pengharmonis rumahtangga, tempat mendengar dan mengadu kepada para suami.Kehadiran wanita sebagai pembantu kepada suami meliputi apa jua bidang, tidak terkecuali di bidang politik, sosial, dan ekonomi.

Yakin dan percaya kepada suami walau ke mana sahaja suami pergi adalah ramuan utama mengekalkan kebahagiaan rumahtangga. Buanglah jauh-jauh rasa sangsi, kerana dalam usaha untuk menegakkan syiar Islam, itulah pengorbanan yang perlu dipertaruhkan.

"Menanam keyakinan dalam hati walau terlalu banyak ranjau berduri, bagi mengharungi derita yang silih berganti kerana syurga yang diimpi itu sangat tinggi maharnya. Sekiranya kerja itu untuk Islam, relakan untuk memberi sepenuh kebebasan. Pergilah ke mana sahaja dan yakinlah isteri sentiasa menjadi tulang belakang menyokong tertegaknya sebuah perjuangan."

Walaubagaimanapun, kesedihan ialah satu perkara yang tidak boleh dipisahkan apabila berjauhan. Kata pepatah, ‘alah bisa tegal biasa’ dan di sinilah ketikanya wibawa sebagai isteri teruji.

Tiga kata kunci yang patut diamalkan dalam kehidupan sebagai isteri dalam konteks pembantu kepada suami, ialah sentiasa memastikan suami tidak terdedah kepada perbuatan maksiat, menolong menjaga kebajikan kedua ibubapa, dan sentiasa mewakafkan diri demi perjuangan Islam. Tugas yang diamanahkan, perlu disempurnakan sebaik mungkin.

Kita kembali mengutip pengajaran daripada kehidupan Ummahatul Mukminin yang banyak menyokong dan membantu Nabi dengan kekuatan peribadi mereka. Kebijaksanaan, kecerdasan, ketabahan, kesetiaan, harta, pengaruh dan pergaulan yang luas dalam memperluaskan syariat Allah dan pengaruh empayar Islam di muka bumi ini. Peranan Siti Khadijah dan Saidatina Aisyah r.a. termasuk sebagai ahli ilmuan dalam Al Qur’an, hadith, fiqh, sejarah dan bahasa Arab tidak boleh disangkal lagi. Kehadiran mereka, sesungguhnya telah dapat membantu baginda Rasul s.a.w. dalam menyampaikan mesej Islam sehingga ke semua peringkat dan menjadi contoh terbaik kepada semua wanita di mukabumi. Hendaklah para isteri mencontohi perjuangan Siti Khadijah dalam membantu perjuangan Rasulullah s.a.w. Peranan yang dimainkannya berjaya membantu, membela dan melindungi Rasulullah s.a.w. daripada ancaman orang-orang Musyrikin Quraisy.

"Faktor psikologi atau juga dikenali sebagai ilmu kejiwaan amat memainkan peranan penting dalam bidang kehidupan seseorang suami khususnya para pemimpin, pejuang dan juga gerakan yang dibawanya. Para isteri akan dianggap berjaya, sekiranya mampu menguasai keadaan sehingga dapat membantu suami dalam perjalanan yang terarah dan tenang."

Kita renungkan hikmah di sebalik cerita Allah taala menempatkan Hawa bagi Adam untuk menjadikan dia sahabat yang setia. Dengan adanya sahabat yang setia, suami boleh bertukar-tukar fikiran dan berbincang mengenai setiap masalah yang timbul.

Banyak kisah-kisah yang boleh meninggalkan siri tauladan kepada para isteri. Dalam soal hubungan, kasih sayang, keilmuan, komunikasi, diplomasi, dan termasuklah apa jua aspek kehidupan sekalipun, yang pentingnya isteri perlu bijak menyesuaikan diri berdasarkan panduan yang termaktub dalam al-Quran dan As-sunnah. Pengorbanan yang ditumpahkan ikhlas oleh mereka bukan setakat membantu suami tetapi juga mampu mewujudkan sebuah keluarga bahagia, di dunia dan akhirat.

Imam al-Ghazali yang menyatakan bahawa strukturasas bagi pembinaan rumah tangga bahagia. Katanya: Sesebuah rumah hendaklah dibina di atas tiga struktur asas, iaitu: ‘al-sakinah’ (ketenangan), ‘al-mawaddah’ (kemesraan) dan ‘al-tarahum’ (timbang rasa).


0 comments:

Post a Comment

 

Copyright © Pena Murobbi..... Sponsored by: Website Templates | Premium Themes. Distributed by: blog template by BloggerThemes