Sunday, May 16, 2010

"Mahkamah Syariah Versi Acuan 1 Malaysia??"


Alhamdulillah masih diberi nikmat bernyawa olehNya dalam mengharungi liku-liku hidup yang masih berbaki ini. Syukur tidak terhingga juga kerna Allah masih memberi kudrat serta kekuatan untuk pena ini terus menulis.Terima Kasih Ya Rabb...Kali ini penulis cuba untuk merespon isu "ORANG BUKAN ISLAM BOLEH MENJADI PEGUAM SYARIE".

Kini HUKUM ISLAM dalam Mahkamah Syariah sudah jadi kucar kacir akibat pemikiran sekular sesetengah pemimpin yang mengharuskannya. Di mana Mahkamah Syariah kini boleh dikendalikan oleh orang BUKAN ISLAM atau dalam erti kata lain adakah ini dipanggil "Mahkamah Syariah Versi Acuan 1 Malaysia"?!

Seorang wanita yag bukan beragama Islam baru-baru ini telah memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi Sivil dalam usaha awalnya untuk menjadi seorang PEGUAM SYARIE di Wilayah Persekutuan.

Manakala Hakim yang memberikan kebenaran itu adalah seorang Melayu Muslim iaitu Datuk Mohd. Zawawi Salleh telah MEMBENARKAN "Victoria Jayaseele Martin" mendapatkan semakan kehakiman untuk satu perintah mandamus (perintah mahkamah tinggi) bagi mendesak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menerimanya sebagai peguam syarie tanpa mengambil kira agamanya.

Komentar Penulis

Kita lihat situasi di Malaysia sekarang semakin genting. Yang meluluskan permohonan ini adalah orang Melayu sendiri, beragama Islam. Sejauh mana kefahaman orang bukan Islam ini tentang Islam? Kita sebagai orang Islam sendiri pun saya yakin belum cukup tinggi ilmu kita tentang Islam. Dan sekarang kita nak masukkan seorang yang bukan Islam untuk mengendalikan kes-kes berkaitan agama Islam.

Mengikut Akta Pentadbiran Agama Islam Wilayah Persekutuan hanya warganegara beragama Islam layak memohon dan beramal sebagai Peguam Syarie di Mahkamah Syariah. Sebagai peguam di Mahkamah Syariah, mereka perlu berhujah dengan menggunakan dalil al Quran, al-Hadith yang berlandaskan hukum syarak. Keputusan hakim membenarkan orang bukan Islam bertindak sebagai peguam di Mahkamah Syariah bererti mereka akan merendahkan taraf al-Quran dan meletakkan hukum syarak pada tahap yang sangat rendah.

Konsep 1Malaysia dan Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh kerajaan telah menepati kehendak rakyat Malaya negara ini yang kini seperti carcamerba. Sekarang ini dalam era 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan' semuanya boleh asalkan ianya menepati konsep "1 MALAYSIA". Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang menentang keras keputusan hakim tersebut pun tidak dapat menggunakan bidang kuasanya sebagai Penguatkuasa Agama. Syabas para perjuang UMNO!!

Sistem kehakiman Islam menekankan keadilan yang tinggi dan tidak membenarkan ia digunakan dalam keadaan yang boleh menimbulkan kezaliman. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud:

" Jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil". (al-Maidah: 42).

Sepatutnya, umat Islam berusaha memartabatkan undang-undang syariah kerana ia berasaskan keadilan di bawah neraca Allah. Islam melarang umatnya mengambil hak orang lain dengan jalan batil. Ini ditegaskan menerusi firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud:-

"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta orang-orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan berbuat dosa, padahal kamu mengetahui salahnya"(al Baqarah:188).

Wallahu a'lam...





0 comments:

Post a Comment

 

Copyright © Pena Murobbi..... Sponsored by: Website Templates | Premium Themes. Distributed by: blog template by BloggerThemes