Wednesday, July 7, 2010

ISU PEMANSUHAN UPSR & PMR: Kerajaan Perlu Berikan Sebab Yang Solid Kenapa Hendak Dimansuhkan!

Beberapa bulan kebelakangan ini banyak isu-isu penting bersifat nasional yang telah melanda negara kita. Antaranya isu penarikan balik subsidi, judi bola sepak, pemberhentian biasiswa ke luar negara dan macam-macam lagi. Isu semasa antara yang sempat penulis ikuti ialah isu "PERMANSUHAN UPSR DAN PMR".

Isu pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR yang kian hangat diperkatakan, pastinya telah mengundang pelbagai reaksi baik daripada yang pakar dalam bidang pendidikan dan juga masyarakat. Tapi ia masih lagi diperingkat cadangan dan pihak kementerian memang sedang mengharapkan input daripada kita semua sebelum cadangan ini dilaksanakan.


Tujuan utama kementerian memberikan cadangan seperti ini adalah untuk mengstruktur semula sistem pendidikan negara yang disifatkan terlalu fokus kepada peperiksaan hingga gagal menghasilkan pelajar yang bijak dalam segala segi tapi hanya bijak di atas meja belajar.


Jadi pada pendapat penulis sebagai salah seorang pelajar yang sudah mengharungi kedua-dua peperiksaan awam ini, adalah memang tidak sepatutnya kedua-dua peperiksaan ini dimansuhkan. Bagi penulis, secara tegasnya penulis berpandangan kedua-dua peperiksaan ini sangat penting.

Penulis mengajak anda semua untuk cuba meletakkan diri kita di tempat pelajar itu sendiri. Selama 11 tahun tanpa peperiksaan besar, rasa-rasanya, apakah yang akan dilakukan oleh para pelajar? Bayangkan jika peperiksaan yang bakal diambil pada tahun kesebelas itu merangkumi kesemua mata pelajaran selama 11 tahun itu, mungkinkah pelajar dapat mengingati kesemuanya? Fikir-fikirkan....


Mengimbas kembali... Ingat lagi kah pada PPSMI? Ada desas desus mengatakan pada tahun 2012, PPSMI akan dimansuhkan? Mengapa ya? Tidak baguskah? Bukan begitu pada saya. PPSMI itu sudah sedia bagus tetapi yang tidak bagusnya ialah tiada perancangan teliti yang diambil oleh kerajaan. Bayangkan betapa kelam kabutnya guru dan pelajar disekolah untuk mengikuti dan mematuhi perubahan yang dilakukan. Dan kesian juga kepada guru-guru yang tidak ada asas bahasa Inggeris untuk mengajar anak muridnya berbahasa Inggeris. Cuba kita lihat dalam pendidikan Jepun, mereka lebih mengagung-agungkan bahasa mereka selain daripada bahasa lain, namun mereka masih boleh berjaya.


Cadangan Kementerian Pelajaran Malaysia supaya peperiksaan UPSR dan PMR dimansuhkan perlu diteliti dan dikaji dengan penuh berhati-hati agar masa depan generasi pewaris masa depan negara tidak diperjudikan sekali lagi sebagaimana gagalnya pelaksanaan PPSMI yang kini lebih dilihat membazirkan duit rakyat serta meminggirkan pelajar luar bandar. Ungkapan peribahasa Melayu 'seperti tikus membaiki labu' haruslah dijadikan panduan agar kerosakan sistem pendidikan yang berlaku pada hari ini tidak semakin bercelaru hanya kerana tindakan yang terburu-buru tanpa kajian yang teliti dan diperhalusi secara mendalam.

Kita tidak mahu lagi melihat sistem pendidikan yang bercelaru dan pelbagai projek dilaksanakan atas nama dan slogan 'pendidikan anak bangsa' dilaburkan dengan begitu mudah tanpa kajian teliti. Akhirnya, implikasi yang diterima kesan daripada transformasi sistem pendidikan dilihat hanya lebih kepada 'retorik' semata- mata dan 'indah khabar dari rupa'. Implikasinya, guru dan pelajar menjadi mangsa 'eksperimen' pendidikan yang bercelaru


"Sistem pendidikan yg tidak melahirkan rasa takut kpd Allah menyebabkan mereka yg terbabit tidak gentar dgn undang-undang ciptaan manusia."


Sesungguhnya, 'Guru' adalah 'agen' perubahan masyarakat. Gurulah insan yang suatu ketika dahulu berada di barisan hadapan dalam meniupkan kesedaran untuk mencapai 'kemerdekaan' tanahair. Gurulah yang membentuk 'jiwa dan minda merdeka' dari segala belenggu pemikiran negatif di kalangan masyarakat suatu ketika dahulu. Oleh itu, kepada golongan pendidik dan pakar pendidikan di seluruh negara digesa agar 'berani' membuat anjakan paradigma demi melihat sistem pendidikan negara dan masa depan pelajar yang bakal menjadi pewaris kepimpinan negara tidak diperjudikan dengan sewenang-wenangnya.


Menyedari bahawa Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang yang digubal suatu ketika dahulu kini semakin tersasar jauh dari konsep JERI (Jasmani, Emosi, Rohani,Intelek). Ahli akademik dan tokoh pendidikan tanahair juga perlu berani menyuarakan pendapat melalui 'lisan dan mata pena' demi melihat kelangsungan masa depan anak bangsa menjadi lebih terarah dan memiliki halatuju yang jelas. Cukuplah isu pemansuhan matapelajaran Jawi suatu ketika dulu yang akhirnya menyebabkan ramai pelajar Melayu Islam 'buta Al- Quran' dan tidak 'celik Tulisan Jawi'.


Jika kerajaan masih mahu memansuhkan kedua-dua peperiksaan ini, penulis berharap kerajaan dapat memberikan sebab-sebab yang solid dan tidak dapat dipersoalkan, barulah rakyat dapat menerimanya. Dan tidak lupa juga, berikan pembentangan tentang perubahan yang bakal dilakukan oleh kerajaan selepas memansuhkan kedua-dua peperiksaan ini.

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright © Pena Murobbi..... Sponsored by: Website Templates | Premium Themes. Distributed by: blog template by BloggerThemes