Friday, July 9, 2010

Pendidikan Islam, Moral tak perlu jadi subjek teras UPSR

Kementerian Pelajaran berpendapat subjek Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral tidak perlu dijadikan mata pelajaran teras dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi meningkatkan sahsiah dan jati diri murid.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ini kerana langkah sedemikian tidak menjamin penghayatan pada kalangan murid untuk menjadi amalan mereka.

“Peningkatan jati diri dan sahsiah murid adalah lebih berkesan melalui proses pendidikan dan penghayatan nilai, bukan dengan cara memasukkan mata pelajaran berkenaan dalam peperiksaan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Hamim Samuri (BN-Ledang) yang berbentuk cadangan meminta kementerian memasukkan kedua-dua subjek itu di dalam UPSR bagi meningkatkan lagi jati diri dan sahsiah murid selaku pewaris generasi.

Mohd Puad berkata, meskipun tidak dijadikan subjek UPSR, murid Islam tetap diwajibkan mengikuti Pendidikan Islam, sementara bukan Islam mempelajari Pendidikan Moral.

“Mata pelajaran tersebut ditaksir melalui Penilaian Berasaskan Sekolah dalam bentuk formatif semasa dan sepanjang proses pembelajaran dan pengajaran,” katanya.

Subjek Pendidikan Islam ditaksir sebagai Penilaian Asas Fardhu Ain (PAFA) dan dicatatkan pada slip keputusan UPSR, manakala pentaksiran Pendidikan Moral dibuat oleh guru dan keputusan direkodkan dalam buku rekod kemajuan murid.

-Bernama-

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright © Pena Murobbi..... Sponsored by: Website Templates | Premium Themes. Distributed by: blog template by BloggerThemes